Kamis, 31 Maret 2011

I Am Number Four: Gabungan Transformers dan Smallville

KUALA LUMPUR, 17 FEB 2011: Pernah terfikir bagaimana hasilnya sekiranya nama-nama besar di sebalik filem Transformers dan siri televisyen Smallville bergabung tenaga? Saksikanlah karya terbaru pengarah DJ Caruso, I Am Number Four yang bakal menjengah layar perak bermula 24 Febuari ini.

Filem ini diterbitkan dua nama berpengaruh di Hollywood yang bertanggungjawab membawakan Transformers, Michael Bay dan Steven Spielberg manakala lakonlayar adalah hasil imaginatif dari penulis skrip siri Smallville yang begitu popular di kaca televisyen iaitu Alfred Gough dan Miles Miller. Malah pengarahnya sendiri, iaitu DJ Caruso turut pernah mengarahkan beberapa siri Smallville sebelum turut bekerja sama dengan Michael Bay dalam filem Disturbia beberapa tahun dahulu.

I Am Number Four pada asalnya adalah sebual novel remaja hasil karya James Frey dan Jobie Hughes yang diterbitkan pada Ogos, 2010. Michael Bay yang kemudian membaca novel ini, tertarik untuk mengadaptasikannya ke layar perak lalu bekerjasama dengan Steven Spielberg untuk mendapatkan hakcipta novel ini dalam merealisasikan impian Bay. Selepas berjaya mendapatkan hakcipta, Alfred Gough dan Miles Miller kemudian diupah untuk menulis lakonlayarnya bersama Marti Noxon, penulis dan penerbit siri Buffy The Vampire Slayer.

Bay pada asalnya berminat untuk mengarahkan filem ini sendiri, namun terpaksa menarik diri untuk memberi fokus kepada filem ketiga Transformers, Dark of The Moon. Tugas pengarah di ambil D.J Caruso, pengarah yang membawa kejayaan Disturbia dan Eagle Eye. Harapan produksi di sebalik I Am Number Four ini adalah untuk menarik peminat remaja, kelompok yang sama menggilai siri Twillight yang juga satu adaptasi dari novel.

Menelan belanja hampir $60 juta (RM183 juta), I Am Number Four menceritakan sembilan bayi makhluk asing yang menyerupai manusia dari planet Lorien telah dibawa lari ke bumi apabila planet mereka dimusnahkan makhluk penjajah, The Mogadorians. Tidak cukup dengan memusnahkan planet Lorien, The Mogadorians turut memburu bayi-bayi ini ke bumi untuk memburu mereka.

Di bumi, kesemua sembilan bayi ini diberikan penjaga serta mempunyai kuasa luar biasa yang akan meningkat apabila mereka semakin dewasa. Setiap dari mereka turut diberikan nombor spesifik sebagai identiti diri dan mereka semua hanya dapat dibunuh sekiranya pembunuhan dilakukan mengikut turutan nombor.

Kisah bermula apabila Nombor Satu, Dua dan Tiga dibunuh dan ini menjadikan sasaran The Mogadorians yang seterusnya ialah Nombor Empat. Nombor Empat (lakonan Alex Pettyfer) yang hidup bersama masyarakat bumi dengan nama John Smith telah berpindah ke Ohio.

Di Ohio dia mula menjalani kehidupan sebagai pelajar sekolah dan berkenalan dengan gadis cantik, Sarah Hart lakonan Diana Aggron. Nombor Empat jatuh cinta dengan gadis ini dan segala-galanya normal sebelum dia mengetahui dia menjadi buruan The Mogadorians. Di situlah bermulanya pengembaraan Nombor Empat dalam menyelamat diri, serta rakan-rakan di sekitarnya dari menjadi mangsa kepada makhluk asing yang kejam.

Sumber : http://www.murai.com.my/article/default.asp?article_id=8970&c=1&s=1

0 komentar:

Posting Komentar

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More